Pendidikan Pemulihan Khas

Mendidik pelajar normal tidak sama dengan mendidik pelajar yang memerlukan perhatian yang lebih dan serius kerana kekurangan mereka.  Dengan ertikata yang lain, golongan pelajar ini dikenali sebagai pelajar pemulihan. Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik Barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan. Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai ‘Remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja.Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa.

Evans (1995) telah menganggap ‘ pengajaran pemulihan dianggap sebagai “ the ambulance of educational system “. Dengan sebab itu pengajaran pemulihan ini tidak boleh diambil kira sebagai satu pekerjaan atau pengajaran yang dilakukan secara mengejut, mendadak atau digunakan pada waktu kecemasan sahaja. Pengajarannya perlu dirancang dan disusun dengan rapi berdasarkan aspek –aspek kelemahan murid.

Menurut Blair (1968), pengajaran pemulihan diperlukan untuk fungsi-fungsi berikut:
a) Untuk menyingkirkan tabiat dan sikap yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan kesalahan atau kelemahan.
b) Untuk mengajar buat pertama kali tabiat, kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah dipelajari.Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid.


Mengenali Ciri-Ciri Murid Pemulihan Khas 

CIRI-CIRI MURID PEMULIHAN KHAS

1. Emosi dan Tingkahlaku

  • Perasaan rendah diri.
  • Perasaan risau.
  • Perasaan sedih, hiba atau duka.
  • Perasaan cepat bosan atau jemu terhadap pelajaran.
  • Perasaan takut akan perkara-perkara baru.
  • Degil, tidak patuh pada peraturan-peraturan dan suka melawan.
  • Pasif.
  • Malas

2. Sosial

  • Gelisah dan selalu bergerak di dalam darjah serta mengganggu kawan-kawan.
  • Lemah / kurang interaksi dengan rakan.
  • Gemar menghisap atau menggigit jari/kuku.
  • Selalu tidak hadir ke sekolah dengan berbagai-bagai alasan.
  • Menangis – enggan masuk darjah.
  • Hyper aktif.

3. Kesihatan

  • Lemah tubuh badan serta kurang zat makanan.
  • Tumbesaran tubuh badan tidak seimbang (gemuk/kurus).
  • Tumpuan perhatian terhad (masalah penglihatan).
  • Lemah gerakkan motor-kasar dan halus.
  • Kesihatan terganggu seperti selalu sakit, sakit terlalu lama dan teruk.
  • Kurang menjaga kebersihan diri.

4. Kesediaan Belajar

  • Belum bersedia untuk belajar.
  • Perbendaharaan kata kurang.
  • Lemah pemahaman.
  • Kurang keyakinan diri dan rangsangan.
  • Kurang matang – IQ tidak seimbang dengan umur hayat.

5. Pengamatan

  • Tidak kenal perbezaan bentuk, saiz, warna dan turutan.
  • Lemah pendengaran bunyi dan rentak.
  • Keliru terhadap konsep ruang dan mencari arah.
  • Lambat mengkelaskan benda.
  • Kesukaran mengaitkan pelajaran yang lama dengan yang baru.
  • Tidak dapat menyelesaikan masalah.
  • Sukar ambil bahagian dalam permainan dan tidak faham undang-undang.
  • Tidak kreatif.
  • Lemah pergerakan dan perbuatan.
  • Lemah daya pemikiran/ingatan.
  • Tidak boleh mengingat kembali.

6. Mengenal pasti Murid Pemulihan Khas

  1. Melalui perbincangan dengan guru kelas atau guru mata pelajaran.
  2. Rekod-rekod prestasi
  3. Rekod kesihatan
  4. Kerja-kerja harian murid
  5. Melalui pemerhatian
  6. Punca-punca lain yang diperolehi

 Masalah Murid Pemulihan

Seperti murid normal, kanak-kanak pemulihan khas juga tidak dapat lari menghadapi masalah.  Masalah utama mereka di sekolah ialah tidak dapat menimba ilmu seperti kanak-kanak lain.  Untuk mengenalpasti antara murid vmempunyai masalah dengan yang tidak,  bukan suatu perkara yang mudah, Kanak-kanak yang  menjalani program pendidikan pemulihan biasanya terdiri daripada murid-murid yang kurang bernasib baik dan menghadapi masalah pembelajaran. Antaranya ialah :
  • Mereka yang mempunyai kelemahan dalam membaca, menulis dan mengira serta kelemahan dalam daya pemikiran yang abstrak. Mereka juga tidak mempunyai kemampuan menganalisis sesuatu untuk membezakan antara yang penting dengan yang kurang penting seperti dalam kefahaman dan menganalisis teks disebabkan kurangnya daya cipta dan kekurangan penguasaan kosa kata
  • Pertuturan yang mempunyai kelemahan dalam koordinasi pancaindera dengan pemikiran dari segi pengamatan, pendengaran dan pertuturan.
  • Lemah dalam penerimaan konsep-konsep yang baru, tidak boleh mengingat kembali, tidak mempunyai akal yang cerdas serta kurang pengalaman tentang alam sekeliling.
  • Kurang keyakinan diri kerana dikuasai oleh perasaan rendah diri, tidak boleh bertindak balas dengan bebas kerana kelemahan sikap kanak-kanak itu sendiri.
  • Gagal dalam ujian atau peperiksaan dan lemah / mundur dalam pelajaran. Tercicir daripada sekolah pada peringkat awal lagi
  • Ketidakbolehan belajar sesuatu dalam masa yang terhad
  • Darjah kecerdasan yang rendah apabila dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya.
Murid-murid pemulihan ini juga dianggap sebagai murid murid yang gagal menghadapi kerja normal sekolah untuk kumpulan sebaya mereka tetapi kegagalan mereka tidak boleh dianggap disebabkan oleh kecacatan. Kadangkala mereka ini diberi label pencapaian rendah yang bermaksud bahawa mereka memperlihatkan taraf pendidikan yang tidak memuaskan berbanding dengan taraf pencapaian purata rakan-rakan sebaya mereka atau taraf pencapaian yang diharapkan bagi murid-murid pada peringkat persekolahan.

1 comment:

  1. Laman yang berinformasi. Maklumat blog byk bantu saya

    ReplyDelete